Friday, August 23, 2013

HUKUMAN MENINGGALKAN SOLAT.. RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL


PENGENALAN
Solat merupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap orang sebagai merealisasikan pengabdian kepada Allah SWT. Solat diletakkan sebagai amalan yang utama dan teramat mulia.Dengan solat Allah akan memastikan seseorang itu layak atau tidak masuk ke dalam syurga sepertimana firmanNya:

 “Dan mereka Yang tetap memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang Yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”
                                                                                              (Surah Al-mukminun: 9-11)

Rasulullah SAW juga berpesan kepada umatnya agar mengerjakan solat. Baginda juga memberi peringatan kepada mereka yang mengabaikan atau meninggalkan solat dengan sengaja melalui sabdanya:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِاللهِ رَضِى اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ : بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ أَوِ الْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ
(أَخْرَجَهُ مُسْلِمَ)
Ertinya:
“Dari Jabir bin Abdullah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Batas antara seseorang dengan kesyirikan atau kekufuran ialah meninggalkan solat.”
(HR. Muslim)

Solat adalah tiang agama. Barangsiapa yang menegakkannya bererti ia telah menegakkan agama. Dan barangsiapa meninggalkannya bererti ia telah meruntuhkan agama. Bahkan solat merupakan tolak ukur bagi seseorang Muslim.

Sesungguhnya perintah solat sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran adalah untuk kepentingan manusia itu sendiri. Tetapi kesedaran betapa pentingnya melaksanakan solat kurang diberi perhatian oleh sesetengah umat Islam kerana kurangnya penghayatan terhadap perintah Allah SWT.



     HUKUM MENINGGALKAN SOLAT
Rasulullah SAW, diperlihatkan pada suatu kaum yang menghantukkan kepala mereka pada batu, Setiap kali hantukan itu menyebabkan kepala pecah, kemudian ia kembali kepada keadaan semula dan mereka tidak terus berhenti melakukannya. Lalu Rasulullah bertanya: “Siapakah ini wahai Jibril”? Jibril menjawab: “Mereka ini orang yang berat kepalanya untuk menunaikan Solat fardhu”. 
(HR. Tabrani, sanad sahih)
5.1       Hukum meninggalkan solat kerana malas.
Mengenai Meninggalkan Solat Kerana Malas Dan  Tetap Meyakini Solat Itu Wajib, Ada Tiga Pendapat Di Antara Para Ulama Mengenai Hal Ini.

Pendapat Pertama: Mengatakan Bahawa Orang Yang Meninggalkan Solat Harus Dibunuh Kerana Dianggap Telah Murtad (Keluar Dari Islam). Pendapat Ini Adalah Pendapat Imam Ahmad, Sa’id Bin Jubair, ‘Amir Asy Sya’bi, Ibrohim An Nakho’i,Abu ‘Amr, Al Auza’i, Ayyub As Sakkhtiyani, ‘Abdullah Bin Al Mubarrok, Ishak Bin Rohuwyah, ‘Abdulabdul Malik Bin Ulamasyafi’iyah, Pendapat Imam Syafi’i (Sebagaimana Dikatakan Oleh Ath Thohawiy), Pendapat Umar Bin Al Khothob (Sebagaimana Dikatakan Oleh Ibnu Hazm), Mu’adz Bin Jabal, ‘Abdulrahman Bin ‘Auf, Abu Hurairah Dan Sahabat Lainnya.

Pendapat kedua: mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat dibunuh dengan hukuman had, namun tidak dihukumi kafir. Inilah pendapat Malik, Syafi’I, dan salah satu pendapat imam ahmad.

Pendapat ketiga: mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat kerana malas adalah fasik( telah berbuat dosa besar) dan dia harus dipenjara sehingga dia mengerjakan solat. Inilah pendapat Hanafiyyah. (Al Mausu’ah Al Fiqhiyah Al Kuwaitiyah).


HUKUMAN ALLAH KE ATAS ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT

a.      Mendapat kutukan dan laknat Allah
Firman Allah:

Ertinya: Maka celakalah bagi orang-orang yang solat iaitu mereka yang lalai dari solatnya.
                                                                                        ( Surah Al-Maa’un : 4-5 )

b.      Termasuk dalam melakukan dosa yang amat besar
Sabda Rasulullah SAW :
“Barang siapa yang mengumpulkan dua solat tanpa sebarang alasan yang kukuh, maka sampailah dia ke salah satu pintu dosa besar”.
(H.R Hakim)

c.       Tergolong orang yang kufur terhadap Allah
Sabda Rasulullah :
“Tiada suatu amalan pun yang dipandang oleh sahabat Nabi SAW yang apabila meninggalkannya dapat menjerumuskan ke dalam kekafiran selain solat.”
(H.R. At-Tirmidzi dan Hakim)

d.      Tidak memperoleh jaminan jagaan Allah
Firman Allah :
Ertinya: Sesungguhnya Aku memfardhukan ke atas umatku solat lima waktu dan Aku menjanjikan bahawa barangsiapa yang menjaga solat itu pada waktunya , Aku akan masukkannya ke dalam syurga. Dan barangsiapa yang tidak menjaganya, maka tiada janjiKu padanya.
(H.R Abu Daud dan Ibnu Majah)

e.       Terhapusnya segala amal kebajikan
Rasulullah SAW bersabda:
“Segerakanlah mengerjakan solat Asar,orang yang meninggalkan solat Asar bererti hapus amalannya.”
                                                                                               (HR.Bukhari)
f.       Tergolong orang yang hina di akhirat.
Firman Allah:

Ingatlah pada hari yang amat susah(kiamat) dan mereka diseur supaya sujud tunduk,tetapi mereka tidak sanggup.Rendah pandangan mereka serta ditimpa kehinaan.Dahulu mereka telah diseru supaya sujud,sedangkan mereka dalam keadaan sihat(tetapi mereka tidak mahu sujud)
                                                                                                      (Surah Al-Qalam: 42-43)
g.      Terlepas dari tanggungan Allah
Rasullullah SAW bersabda:
Ertinya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja,maka sesungguhnya lepaslah daripadanya tanggungan Allah”.
                                                                                                                         (H.R.Ahmad)
h.      Tergolong orang yang mendustakan Allah dan Rasulnya
Firman Allah Taala

Ertinya: Maka manusia tidak mahu membenarkan (rasul dan Al-Quran) dan tidak mahu mengerjakan solat,tetapi ia mendustakan (rasul) dan selain.
                                                                                                   (Surah Al-Qiyamah:31-32)
i.        Termasuk golongan orang yang mendapat kerugian dalam hidup
Firman Allah

Ertinya: Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi.
(Surah Al-Munafiqun:9)
j.        Dimasukkan ke dalam neraka di akhirat
Firman Allah :
   
Ertinya: (setelah melihat orang-orang Yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah Yang menyebabkan kamu masuk ke Dalam (neraka) Saqar?". Orang-orang Yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk Dalam kumpulan orang-orang Yang mengerjakan solat;."Dan Kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
(Surah Al-Muddathir;42-44)

k.      Mendapat Kemurkaan Allah Para Malaikat Dan Semua Makhluk.
     Rasullah SAW bersabda ertinya :
“Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat jemaah itu terkutuk di dalam kitab taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran dan orang yang meninggalkan solat jemaah itu berjalan di muka bumi sedangkan bumi mengutuknya, dan orang yang meninggalkan jemaah itu dimurkai Allah, para Malaikat dan segala m yang bakhluk Allah yang bernyawa dan dimurkai pula oleh Malaikat yang berada di antara langit dan bumi dan semua ikan yang berada di laut”
 (Durratun Nasihin)

l.        Ditolak oleh Allah syahadahnya.
            Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mencegah dari dirinya terhadap lima perkara,maka Allah mencegah dari orang itu lima perkara:
1.      Barangsiapa enggan berdoa,  maka Allah tidak akan makbulkan.
2.      Barangsiapa enggan bersedekah, maka Allah enggan memberikan kesihatan.
3.      Barangsiapa enggan berzakat, maka Allah berdoa, maka Allah tidak akan makbulkan.
4.      Barangsiapa enggan mengeluarkan dari persepuluh (zakat tanaman), maka Allah tidak akan memberkah terhadap usahanya.
5.      Barangsiapa enggan mengunjungi solat jemaah, maka Allah menolak syahadahnya iaitu:Tiada Tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad itu utusan Allah.
(Durratun Nasihin)

m.    Mendapat azab Allah semasa hidup di dunia, ketika mati dalam kubur dan di Hari Akhirat
Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang meremehkan solat, maka dia akan dikutuk oleh Allah dengan 15 macam kutukan, enam macam daripadanya akan dirasakan di dunia ini, tiga macam kutukan akan mati, tiga macam sewaktu dalam kubur dan tiga macam sewaktu Hari Kiamat. Adapun enam macam kutukan Allah ke atasnya semasa masih hidup di dunia ini ialah;
1.      Allah akan mencabut berkat umurnya.
2.      Allah menghapus tanda sebagai orang yang baik dari wajahnya.
3.      Setiap amalan yang lain tidak diberi ganjaran oleh Allah.
4.      Doanya tidak diangkat oleh Allah ke langit.
5.      Akan dikutuk oleh semua makhluk yang lain.
6.      Tidak mendapat behagian dari doa orang-orang yang soleh.
Adapun tiga kutukan Allah sewaktu akan mati ialah;
1.      Dia akan mati dalam keadaan penuh kehinaan.
2.      Akan mati dalam keadaan sangat lapar dan dahaga.
3.      Akan mati dalam keadaan sangt lapar dan dahaga.
Tiga macam kutukan Allah dalam kubur itu ialah;
1.      Allah akan menyempikan kuburnya sampai hancur tulang belulangnya.
2.      Akan dirasakan sangat panas.
3.      Akan dicampurkan dengan binatang-binatang yang akan memakannya.
Adapun kutukan Allah setelah kiamat kelak ialah;
1.      Akan dicampurkan dengan orang-orang yang akan menyeretnya ke dalam neraka Jahannam.
2.      Allah akan memandangnya dengan penuh kemarahan semasa dihisab amalnya sehingga daging mukanya jatuh berguguran.
3.      Akan dihisab dengan sangat teliti, kemudian dilemparkan ke dalam neraka.
(Mukhtasarut Tazkirah)
Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa meremehkan solat jemaah maka Allah akan mengenakan dengan 12 tindakan yang membahayakan; tiga ketika meninggal dunia; tiga ketika di dalam kubur dan tiga ketika dihari Kiamat”
Adapun tiga balasan di dalam dunia ialah:
1.      Allah Taala akan menghilangkan berkat usaha dan rezekinya.
2.      Allah mencabu cahaya orang-orang yang soleh daripadanya.
3.      Dia dibenci oleh orang-orang yang beriman.
Adapun balasan ketika mati ialah:
1.      Rohnya dicabut sedang dia dalam keadaan dahaga walaupun dia telah minum air seluruh sungai.
2.      Merasakan sangat sakit ketika dicabutkan rohnya.
3.      Dikhuatiri hilang imannya. Kita berlindung kepada Allah Taala.
Adapun balasan dalam kubur ialah:
1.      Dia amat sedih terhadap pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir.
2.      Kuburnya menjadi gelap.
3.      Kuburnya sempit sehingga tulang-tulang rusuknya menjadi terkumpul.
Balasan di Akhirat ialah:
1.      Hisabnya menjadi berat.
2.      Allah Taala menjadi murka kepadanya.
3.      Diseksa oleh Allah Taala denganapi neraka. Kita berlindung kepada Allah Taala
(Kanzul Akhbari)
5.3       Kisah pengajaran akibat meninggalkan solat
1.Hukuman bagi orang yang meninggalkan solat;

a.      Jika ia pemimpin atau ketua Negara
Mereka akan masuk neraka bersama-sama Firaun.

b.      Jika ia seorang pegawai kerajaan
Mereka akan masuk neraka bersama Haman.

c.       Jika ia seorang hartawan
Mereka akan  di masukan ke neraka bersama Qarun

d.      Jika ia seorang saudagar,pedagang atau petani
Mereka akan di masukan ke dalam neraka beresama Ubaiy bin Khalaf.

Diriwayatkan bahawa pada satu hari Nabi Muhammad SAW telah menguruskan seorang jenazah yang sebelum dikafankan berubah menjadi babi hutan yang hitam,lalu berdoa kepada Allah sehingga berubah menjadi manusia semula.Semasa hendak dikebumikan bertukar kembali  menjadi babi hutan yang hitam.lalu Nabi SAW bertanya kepada warisnya apakah kesalahan yang dilakukan oleh si mati semasa hidupnya,lalu menjawab meninggalkan solat.
Maka Nabi SAW bersabda ,beginilah keadaan orang yang meninggalkan solat,Allah taala akan membangkitkan di hari akhirat nanti berupa babi hutan yang hitam. Na’uzubillahi Taala. Kita berlindung diri kepada Allah Taala.

KESIMPULAN
Ibadah solat adalah satu ibadah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah SAW secara lansung atau terus tanpa perantaraan Jibril a.s. sepertimana yang telah kita ketahui di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.Ini memberi petunjuk yang begitu jelas bahawa ibadah solat  adalah ibadah yang amat penting sehingga Allah Taala mengangkat Rasulullah SAW sendiri kelangit untuk mengambil kefardhuan solat seumpama seorang ketua memanggil pekerjanya ke dalam bilik untuk memberikan tugasan yang amat penting.

Oleh yang demikian kita telahpun memahami dan meyakini bahawa pengaruh atau kesan positif solat kepada kehidupan umat Islam terlalu besar terutama dalam membentuk jiwa, diri, akhlak mulia, sifat amanah, perpaduan dalam menuju keberkatan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
Solat adalah pengabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berdasarkan maksud ayat ini solat adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati Allah Ta’ala.Tidak ada jalan lain untuk kita hamba yang beriman ini untuk berhubung dengan Allah melainkan dengan hanya menunaikan solat. Sekiranya seorang muslim tidak melaksanakan solat,bagaimana cara dia mengucapkan syukur kepada Allah Taala. Adakah cukup sekadar mengungkap ucapan Alhamdulillah atau terima kasih Allah tanpa solat. Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat adalah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan sombong seperti lagak Firaun dan Qarun.

Justeru, orang Islam yang tidak menunaikan solat sebenarnya adalah orang yang tidak mengakui Allah itu tuhan yang patut disembah.Malah mereka ini adalah golongan yang telah menipu terhadap pengakuan di dalam syahadah dan  ikrar mereka.



RUJUKAN

1.      Al-Fiqh Alal Mazhabil Arbaah, Abdul Rahman Al-Jazairi.

2.      Durratun Nasihin, Usman Al-Khaibawi.

3.      Nailul Authar, Imam Asy Syaukani.

4.      Sabilal Muhtadin, Syeikh Muhammad Arshad Al-Banjari.

5.      Shahih Muslim, Imam Muslim.

6.      Kitab Fikah Mazhab Syafie, Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho.


7.      Hukuman Meninggalkan Solat, Drs. Hanafi Mohamed.

No comments:

Post a Comment